AMPANG, SEREMBAN : Satu majlis Adat Istiadat Kerjan (Tabal) Datuk Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 akan diadakan dengan penuh tradisi adat pepatih Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung enam hari bermula 7 Jun ini. Sejak kali terakhir ia diadakan 58 tahun lalu di negeri itu.
Pelantikan Othman Ismail sebagai Undang Luak Sungai Ujong dibuat selaras dengan aturan adat pesaka Luak Sungei Ujong serta mengikut peruntukan fasal 14 (1) dan 32 Perlembagaan Negeri Sembilan Darul Khusus 1959 dan di bawah Fasal 71 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pemasyuran Othman sebagai Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia (YTM) Luak Sungei Ujong juga telah dilakukan Datuk Lembaga Kanan Sungei Ujong, Datuk Sri Maharaja Di Raja Zulkepley Dahalan, pada 8 Februari lalu di Telapak Undang Batu 7 3/4 Kampung Gendang, Mukim Pantai, Seremban.
Bercakap pada sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini, Raja Zulkepley berkata pelantikan dan pemasyuran Othman yang menggantikan bekas penyandang pesaka Datuk Kelana Petra Undang Luak Sungei Ujong sebelum ini, Mubarak Dohak @ Tohak yang didakwa telah melakukan kesalahan dan salah laku adat terhadap 13 perkara sejak menyandang jawatan itu pada 20 Disember 1993 sehingga 30 September 2001.
Katanya, pemecatan Mubarak juga dibuat hasil persetujuan bersama empat kerapatan waris di darat dan waris di ayer Luak Sungei Ujong menerusi undi tidak percaya pada 30 September 2001, 16 Ogos 2004 dan pada 20 Januari dan 8 November tahun lalu. “Kerjan tabal ke atas Othman akan dibuat dengan penuh adat istiadat pepatih yang diamal sejak zaman berzaman Luak Sungei Ujong selaras kedudukan Undang Luak Sungei Ujong sebagai ‘imam kepada empat undang di Negeri Sembilan'.
“Kali terakhir istiadat kerjan tabal Undang Luak Sungei Ujong ke atas Allahyarham Datuk Klana Mohd Kassim Datuk Mendika Ab Rashid diadakan 58 tahun lalu iaitu pada 23 hingga 25 Januari 1951,” katanya. Raja Zulkepley berkata, kemuncak istiadat kerjan tabal itu pada 9 Jun dengan dimulakan tembakan meriam sembilan das sebagai tanda Datuk Undang Luak Sungei Ujong berangka ke Panca Persada bagi istiadat berlangsir.
Katanya, pelantikan Othman juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan. Beliau mendakwa, pelantikan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong pada 1993 yang kini sudah dipecat sebenarnya tidak mengikut perlembagaan negeri kerana dibuat menerusi Dewan Keadilan yang dibentuk kerajaan negeri dengan membelakangi empat kerapatan waris di darat dan di ayer Undang Luak.
Rujukan Sumber : BeritaharianOnline 31 Mei 2009
3 comments:
Mintak maaflah...semua orang yang di sahkan waris akan menjadi datuk klana.abis tu siapa yang nak jadi rakyat plak.Tak habis habis dengan jawatan yang satu tu.sampai bila nak selesai.Itu akibat nya bila adat diketepikan dan kepentingan diri diketengahkan, yang menanggung akibat ialah cucu cicit yang baru nak kenal adat.Kalau benar lah apa yang dibuat tu betul kenapa tidak berunding, kenapa takut berdepan dengan kenyataan.
Fakta: walopon satu hari nanti kemungkinan othman ismail menjadi datuk kelana, tp pada hakikat dia telah membelakangi ibu soko yg asal!(emaknya anak yang ketiga, bukan yang pertama). ini adalah fakta yang benar. kerana aku cucu pada ibu soko yang asal.
aku hanya memberi fakta, tidak ada keinginan aku untuk merebut jawatan yg satu itu, byk yg perlu dipelajari tentang adat, bukan boleh sesuka hati nak merebut tak tentu arah mcm othman ismail nih..
Salam Saudara Temuar dan Anomyous,
Saya memohon maaf sekiranya artikel ini mengganggu emosi saudara berdua. Saya dapat artikel ini berdasarkan berita daripada Berita Harian Online.
Sekiranya saudara berdua ada fakta mengenai perkara ini dan mahu dimasukkan sebagai artikel di blog saya, saya amat mengalu-alukan.
Walau bagaimanapun, sebarang penulisan adalah tanggungjawab penulis kerana saya tidak mahu blog saya nanti diganggu pula oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Semoga Saudara berdua dapat mempertahankan hak saudara.
Salam 1 Malaysia,
HASSIM MOHD ABDUL RAHMAN
Post a Comment